:: Solehan :: I VISUALIZE MY SUCCESS DAILY ::

.:: BORN TO BE A WINNER ::.

Thursday, December 22, 2005

Bila Maut Menjemput...

Maut; sesuatu yang pasti dirasai setiap orang. Baik yang berkedudukan, yang berharta mewah, yang kacak, yang cantik, yang kuat dan kebal, semuanya akan ditemukan dengan maut. Begitu juga aku. Segalanya telah ditetapkan di atas sana, cuma segalanya menjadi rahsia dan tanda kebijaksaan Allah. Bila dan bagaimana, di mana dan berapa lama? Segalanya menjadi peringatan agar kita sebagai hambaNya tidak langsung leka dengan segala nikmat kemanisan dunia yang tiada taranya ini.

Melihat seseorang menghadapi maut; memang menyedihkan. Sebab itulah bilamana Nabi S.A.W hendak bercerai nyawa, malaikat Jibril langsung tidak sanggup untuk memandang wajah Nabi S.A.W yang mulia kerana tidak sanggup melihatnya. Aku tidak terkecuali. Pengalaman melihat orang menghadapi saat-saat sakaratulmaut memang menyedihkan dan menginsafkan.

Biarlah aku memanggilnya TOK NGAH, nenek saudara aku yang tinggal bersama-sama kami dalam sebuah rumah. Dahulunya dia tinggal di hujung kampung, menghabiskan hidup sehariannya dalam rumah yang terpencil dan kecil. Berseorangan. Seorang yang hidup dalam serba kekurangan tapi, aku tidak pernah melihatnya mengeluh atau kesal dengan apa saja yang dimiliki. Baginya, itu semua sudah mencukupi. TOK NGAH seorang yang pemalu, selalu tersenyum, amat jarang sekali meninggikan suaranya semasa bercakap, seorang pendengar yang baik, suka beribadat dan berdamping dengan al-Quran. Pernah sewaktu kecil, setiap kali menjelangnya hari lebaran, TOK NGAH tidak lokek untuk memberikan aku duit raya. Tidak banyak yang diberikan..hanya 20sen atau 50sen. Dan aku akan kembalikan duit itu dengan membeli roti untuk dimakan bersama-samanya. TOK NGAH selalu bercerita, menghiburkan aku dan sepupuku. Dahulu, tatkala aku pulang ke kampung, aku akan terus menuju ke rumah kecilnya di hujung kampung, sesampai di sana, akan terdengar suaranya yang perlahan sedang membaca al-Quran. Hampir setiap kali begitu. Aku akan terus mengetuk pintu untuk masuk; seraya TOK NGAH akan terus membukanya sebaik saja terdengar aku memberi salam. Itu dahulu, sekarang apabila terdengarnya membaca al-Quran, aku akan terus menunggunya habis membaca, barulah akan mengetuk pintu rumah kecilnya.
Kenangan demi kenangan bersamanya terus bermain di benakku. Segalanya sederhana. Tulus.
Apabila memasuki sekolah menengah, aku hanya sempat menjenguknya bilamana cuti sekolah menjelma. Begitu juga sewaktu aku memasuki alam pengajian yang setahap lebih tinggi selepas itu. Segalanya masih seperti dulu, TOK NGAH tetap seperti dulu. Masih pemalu, seringkali tersenyum dan masih juga pendengar yang baik untukku. Cuma, TOK NGAH tidak banyak bercakap; mungkin disebabkan umur tuanya yang memerlukan dia untuk lebih banyak berdiam daripada bercakap.
JULAI 2005: Kami dikejutkan dengan berita bahawa TOK NGAH tiba-tiba rebah ke atas lantai sewaktu tengah duduk berkumpul beramai-ramai bersama kami. Sedangkan tiada siapa yang menolak atau angin yang melanda, TOKNGAH tiba-tiba rebah ke bawah. Masing-masing mengangkatnya kembali. Dia tampak letih dengan itu. Esoknya, emak dan nenek aku yang masih sihat membawanya ke klinik untuk pemeriksaan. Ada tanda-tanda angin ahmar menyerang atau 'stroke'. TOK NGAH masih mampu bergerak sendiri tanpa dibantu tatkala itu. Selang seminggu, TOK NGAH makin tidak mampu untuk bangun. Dia makin tidak bermaya. Kami kembali membawanya menjalani pemeriksaan di sebuah hospital pakar berdekatan. TOK NGAH terlantar hampir seminggu lamanya di sana. Setelah itu, doktor memutuskan tiada rawatan yang khusus, hanya ubat-ubatan membantu meringankan kesakitannya. Kami memutuskan untuk membawanya pulang ke rumah dan tinggal bersama-sama kami dalam sebuah rumah. Datukku menyerahkan biliknya untuk dijadikan tempat pembaringan TOK NGAH. Bermula saat itu, TOK NGAH sudah lumpuh. Segala urusannya bergantung kepada orang-orang di sekelilingnya.
Emak dan nenek akulah yang membantu menguruskan keperluannnya. Daripada menyuapnya makan dan memandikan sehinggalah membantunya membuang air, semuanya diuruskan oleh emak, nenek, dan seorang emak saudaraku. Aku hanya membantu sekali-sekala apabila emak menyuruhkan. Lain daripada itu, emak tidak membenarkan aku masuk campur; cukup sekadar memerhati. TOK NGAH tidak mampu lagi bercakap. Hanya matanya yang terbuka dan memandang kami yang selalu berada di sekelilingnya.
NOVEMBER 2005: Syawal menjelang. Aku tidak lupa untuk mengucup tangannya pada pagi Hari Raya. Sebak melihat wajahnya yang cengkung dan tidak lagi bermaya. Tiada lagi senyuman seperti dahulu. Nenek cuba menyuapkannya sedikit lemang untuk meraikan Hari Raya bersamanya. Tetapi, segalanya tidak seperti dahulu. TOK NGAH tidak mampu lagi menjamah makanan yang pejal; hanya makanan cair menjadi pengalas perutnya sejak 5bulan dahulu. Rata-rata orang yang menziarahi rumahku sewaktu Hari Raya akan turut sama menjenguk TOK NGAH. Air muka simpati dan kasihan terpancar pada wajah masing-masing.
DUA MINGGU SELEPAS HARI RAYA: Emak tiba-tiba memberitahuku bahawa TOK NGAH kelihatan makin tenat dan tidak bermaya. Nenek juga merasakan kelainannya. Malamnya, kami menjemput semua orang kampung untuk mengadakan bacaan Yassin. Semuanya untuk kesejahteraan TOK NGAH. Dipohonkan kepadaNya; jika umur TOK NGAH masih panjang, sembuhkanlah dia dan jika umurnya hanya tinggal beberapa nafas lagi, mudahkanlah urusannya denganMu ya Allah. Aku masih ingat hari itu; Hari Rabu. Hari Khamis, TOK NGAH tidak mampu lagi mengangkat kelopak matanya. Tidak mampu lagi memberi reaksi apabila kami memanggil namanya. Makanan yang disuapkan tidak mampu lagi ditelannya. Emak hanya menitiskan air Yassin ke dalam mulutnya yang sesekali terbuka kerana sudah dibuang gigi palsunya.
TO BE CONTINUED......

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home